Kisah yang tercatat di dalam Al-Quran
“Dan
ketika dia(Musa) sampai di sumber air negeri Madyan, ia dapati di situ
sekumpulan orang-orang lelaki sedang memberi minum (binatang ternak
masing-masing), dan ia juga dapati di sebelah mereka dua perempuan yang
sedang menahan(ternakan mereka berdua). Dia bertanya: Mengapa dengan
kamu berdua(menahan ternakan)? Mereka menjawab: Kami tidak dapat memberi
minum (ternakan kami) sehingga pengembala-pengembala itu membawa balik
binatang ternak masing-masing; dan bapa kami seorang yang terlalu tua
umurnya.”
“Maka Musa pun memberi minum kepada
binatang-binatang ternak mereka, kemudian ia pergi ke tempat teduh lalu
berdoa dengan berkata: Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku sangat berhajat
kepada sebarang rezeki pemberian yang Engkau berikan.”
“Kemudian
salah seorang dari perempuan dua beradik itu datang mendapatkannya
dengan berjalan dalam keadaan tersipu-sipu sambil berkata:” Sebenarnya
bapaku menjemputmu untuk membalas budimu memberi minum binatang ternak
kami”. Surah Al-Qasas ayat 23-25.
Di dalam kisah pendek tiga ayat
ini, tersembunyi ibrah yang sangat besar. Bukan hanya kisah pertemuan
Musa dengan Anak Nabi Syu’aib yang kemudiannya mendidik kesabaran Musa. Bukan juga hanya kisah Musa yang baik hati
membantu perempuan yang lemah. Bukan juga hanya kisah aturan Allah SWT
yang cantik mengaturkan perjalanan Musa dalam rangka menjadikannya
sebagai Nabi.
Tetapi di dalam tiga ayat ini, terdapat juga didikan untuk wanita.
Allah hendak menunjukkan bagaimana urusannya wanita dan lelaki, dengan menunjukkan sifat malu yang wujud dalam diri Anak-anak Syu’aib.
Wahai manusia, Allah sedang berbicara dengan anda berkenaan Sifat Malu.
Sifat malu yang sangat tinggi
Anak-anak
Nabi Syu’aib tidak membenarkan diri mereka bercampuran dengan
lelaki-lelaki lain walaupun mereka mempunyai kerja yang penting –
memberikan minuman kepada ternakan mereka.
Mereka sanggup menahan
ternakan mereka dan menanti walaupun keadaan itu sangat memberikan
kekurangan kepada ternakan mereka nanti. Alasan lemah adalah alasan yang
kedua. Alasan utama adalah kerana bergaulan, bercampuran dengan lelaki
sememangnya menjatuhkan akhlak mereka.
Kita sendiri, kalau
melihat perempuan tolak menolak dengan lelaki, berebut-rebut dengan
lelaki, bersentuhan tangan, bergeselan badan, bagaimana agaknya persepsi
kita?
Maka Anak-anak Syu’aib menanti. Biar lapang baru mereka
pergi. Tidak melanggar adab pergaulan, dan tidak pula mengundag
kecederaan.
Namun, melakukan sedemikian pastinya satu kekurangan
untuk mereka. Kekurangan untuk binatang ternak mereka membesar dengan
baik. Tetapi lihatlah Anak-anak Syu’aib, dunia dan akhirat yang mana
mereka pilih?
Penjagaan diri mereka ini membuatkan mereka sangat mahal.
Tidak memanjangkan bicara 1(kondisi diajak bicara)
Musa
yang berehat di bawah pokok berdekatan hanya memandang. Pelik di
matanya melihat dua orang perempuan berdiri menunggu di tepi sumber air
bersama ternakan mereka. Pastinya dua perempuan itu bukan menanti suami
atau ayah mereka siap memberi minum pada ternakan kerana keduanya
membawa ternakan masing-masing.
Atas dasar ambil berat, Musa bangun dan bertanya.
“Mengapa dengan kamu berdua?”
Dan
lihatlah bagaimana cantiknya akhlak Anak-anak Syu’aib. Lihatlah
bagaimana mereka menjawab dengan kata-kata yang pendek, tidak
meleret-leret, malah menutup lubang untuk menyambung bicara lain.
Terus sahaja mereka menjawab: “Kami
tidak dapat memberi minum (ternakan kami) sehingga
pengembala-pengembala itu membawa balik binatang ternak masing-masing;
dan bapa kami seorang yang terlalu tua umurnya”
Terus kepada
point. – Kami tidak dapat memberi minum sehingga pengembala-pengmbala
itu mebawa balik binatang ternak masing-masing –
Terus terang dan menutup ruang untuk perbualan berpanjangan – dan bapa kami seorang yang terlalu tua umurnya –
Lantas
Musa tidak menyambung perbualan mahupun bertanya lagi. Malah dia juga
sudah tiada alasan untuk bertanya kerana segalanya telah terjawab dengan
jawapan ringkas itu. Kata-kata “dan bapa kami seorang yang terlalu tua umurnya”
itu telah menjawab soalan-soalan seperti: “Habis, mana ayah awak?”,
“Abang awak tak ada ke?”, “Ish, kesiannya, kenapa ya macam tu?” dan
lain-lain.
Sangat bersih peribadi Anak-anak Syu’aib dalam menjaga
diri mereka. Tidak berminat memanjangkan bicara yang tiada
kepentingannya. Dan lihatlah pula kepada Musa, sangat bersih peribadinya
dengan tidak mencari atau memikirkan mana-mana peluang lain untuk
berbual, tetapi tanpa banyak bicara terus membantu ketika itu juga.
Tidak memanjangkan bicara 2(kondisi pemula bicara)
Dan
apabila Nabi Syu’aib melihat kedua anaknya pulang lebih awal dari
biasa, dia kehairanan dan bertanya. Maka kedua anak itu menceritakan
perihal lelaki yang berteduh di bawah pokok. Maka Nabi Syu’aib mengarah
salah seorang anaknya pergi memanggil.
Lihatlah bagaimana anak
itu, walau berseorangan, tidak lagi ditemani ahli keluarganya, tidak
pula mengambil peluang bermanja-manja atau berkenalan dengan lelaki yang
berjasa itu.
Malah dia berjalan dengan tersipu-sipu, berjalan atas sifat malu, dan terus berkata menyampaikan hajatnya:
“Sebenarnya bapaku menjemputmu untuk membalas budimu memberi minum binatang ternak kami”
Tidak pula dia meleret-leret atau berpusing-pusing dahulu dengan sembang-sembang lain, tanya-tanya lain seperti:
“Eh awak, terima kasih lah tadi ya. Awak baik sangat. Walaupun kita tak kenal… bla bla bla”
“Awak
siapa nama ya? Terima kasihlah tadi ya. Ah, ni ayah saya panggil. Dia
kagum dengan awak. Yalah, siapa yang nak tolong perempuan masa ni… bla
bla bla”
Tetapi Anak Syu’aib itu terus pada pointnya tanpa
memanjangkan bicara – Sebenarnya bapaku menjemputmu untuk membalas
budimu memberi minum binatang ternak kami – Habis cerita dan tiada lagi
alasan untuk menyambung sembang baik dari Pihak Musa, mahupun pihaknya.
Dia melaksanakan amanah bapanya tanpa mengambil celahan pada amanah itu.
Bersihnya
peribadi Anak Syu’aib. Sifat malunya sangat tinggi. Sangat menjaga budi
pekerti. Tiada langsung apa yang dikatakan ‘gedik’ oleh manusia hari
ini. Langsung tidak mengambil peluang berduaan dengan jejaka berjasa
yang hebat itu. Dan lihatlah Musa. Bersihnya peribadi Musa, tidak pula
mengambil peluang berduaan itu dengan memanjang-manjangkan sembang,
mencari peluang berkenalan dan sebagainya.
Bagaimanakah kita hari ini?
Melihat Anak-anak Syu’aib, kita sepatutnya persoalkan diri kita.
Bagaimana kita hari ini?
Bila
memberikan bantuan, bila meminta pertolongan, bila berbincang untuk
sesuatu program di dalam mesyuarat, bila di Facebook, YM, dan di
macam-macam situasi lagi. Bagaimanakah kita?
Di sini perlu kita
lihat. Bagaimana Allah menunjukkan sikap Anak Syu’aib dan Musa AS. Anak
Syu’ain mewakili perempuan, dan Musa AS mewakili lelaki. Bagaimanakah
keadaan mereka, pergaulan mereka, akhlak dan peribadi mereka.
Adakah kita mencontohi?
Kebanyakan
kita, kalau bercerita akan kisah Musa dan Anak Syu’aib, tak habis-habis
menceritakannya dari sudut percintaan. Entahlah, saya pun tak faham.
Kisah Nabi Yusuf dengan Zulaikha pun pergi cerita macam itu juga, balik
kepada cinta.
Cinta nak kecoh. Malu tak mahu cerita. Macam mana masyarakat nak jadi bagus?
Penutup: Saya sangat kagum dengan Anak Syu’aib
Alangkah
indahnya dunia kalau dipenuhi wanita-wanita sebegini. Terjaga pergaulan
mereka, bersih peribadi mereka, cantik akhlak mereka, mahal harga diri
mereka.
Kisah ini membuatkan saya berazam untuk mendidik diri
dengan lebih kuat lagi. Biar nanti kalau Allah kurniakan saya anak
perempuan, saya senang anak perempuan saya terjaga seperti terjagana
anak-anak perempuan Syu’aib.
Semestinya, anak-anak perempuan
Syu’aib mempunyai akhlak yang sedemikian kerana terdidik dengan didikan
ayahanda mereka, Nabi Syu’aib AS.
Ya Allah, kurniakanlah sifat malu Anak Syu’aib itu kepada perempuan hari ini.
Ya Allah, kurniakanlah juga keindahan akhlak Musa itu kepada lelaki hari ini
No comments:
Post a Comment